Saturday, January 31, 2009

Kes A Kugan bukan sentimen perkauman

Assalamualaikum,



Melihat tajuk di atas tentu pembaca dapat meneka apa yang akan saya perkatakan dalam artikel saya kali ini. Beberapa hari sebelum rakyat Malaysia menyambut Tahun Baru Cina yang bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina, malah oleh semua bangsa di Malaysia, kita dikejutkan dengan berita tentang kematian seorang lelaki India, A Kugan yang didakwa terlibat dalam kes curi kereta mewah oleh PDRM. Bukanlah niat saya untuk menafikan peranan PDRM dalam menangani masalah jenayah yang berleluasa di negara ini malah kita tabik hormat atas usaha mereka itu. Apa yang kita persoalkan mengapa sering berlaku kematian terhadap tahanan yang dalam soal siasat. Itulah akan saya perkatakan dalam artikel ini.



Marilah kita melihat kes ini dalam sudut pemikiran yang rasional dan bukan bersifat sentimen perkauman. Memang A Kugan seorang India dan kes jenayah di kalangan masyarakat India begitu tinggi masakini. Satu Malaysia gamat dan kecoh dengan NGO, parti politik terutama pembangkang bangun untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, ketidakadilan dan keraguan yang timbul dalam kes kematiannya. Beliau dilaporkan mati akibat cecair dalam paru-paru sepertimana yang disiarkan dalam dada akhbar tempatan. Tetapi keluarganya terkejut melihat keadaan mayatnya yang ada kesan lebam dan calar-calar. Saya sendiri dapat melihat gambar mayatnya yang tersiar dalam akhbar (bukan media perdana) dan saya seolah tak percaya yang insiden begini boleh berlaku di Malaysia.



Apa yang ingin saya perkatakan di sini adalah, apakah harapan kita sebagai rakyat Malaysia yang kita boleh jamin akan selamat apabila secara tak sengaja kita berada dalam tahanan PDRM. Kalau dulu dalam tahun1998 seorang bekas Timbalan Perdana Menteri boleh diperlakukan begitu kejam sekali, dan kali ini seorang yang didakwa (belum disabitkan) penjenayah pun menerima nasib yang sama, bagaimanakah agaknya nasib anak-anak kita yang Melayu, Cina, Kadazan, Iban, Benggali dan tah apa bangsa lagi, menjadi tahanan untuk soal siasat boleh selamat untuk meneruskan perbicaraan di Mahkamah. Marilah sama-sama kita fikirkan dan mengambil insiden ini sebagai kayu pengukur yang kita memang tidak boleh menyandarkan harapan yang begitu tinggi kepada PDRM dalam menegakkan keadilan di negara ini. Bukanlah maksud saya menuduh seluruh anggota dalam PDRM, tapi mungkin sebahagian dari mereka yang sanggup mengambil tindakan yang di luar batasan peri kemanusiaan. Kita sebagai rakyat selalu dinasihatkan dan diperingatkan agar mengikut saluran undang-undang dan jangan melampaui batas-batas yang telah ditetapkan dalam perlembagaan negara ini. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.



Mungkin kali ini ia berlaku kepada seorang berbangsa India, selepas ini kita tak tahu siapa pula yang akan menerima nasib seperti A Kugan. Mungkin orang lain akan berfikir, biarlah penjenayah mati, lebih-lebih lagi orang India, kurang berlaku jenayah lagi yang melibatkan bangsa ini. Itu mungkin datang dari pemikiran mereka yang sempit untuk menilai yang insiden ini telah meragut nyawa seseorang (tak kira apa bangsa) sebelum dakwaan ke atas kesnya dibicarakan di Mahkamah. Itu yang sebenarnya yang ingin kita bincang, selidiki dan amati sedalam-dalamnya.



Yang benar-benar mengherankan saya adalah apabila timbul kes yang melibatkan rakyat biasa, cepat dan pantas pula PDRM menyelesaikannya sampai tercabut nyawa tertuduh. Tapi apabila tiba pada kes berprofil tinggi dan melibatkan seseorang yang tertinggi dalam negara, macam-macam helah dan tipu muslihat untuk menidakkan kehadirannya di Mahkamah. Walaupun ada bukti yang boleh mengheretnya untuk disoal di mahkamah, ini tidak mungkin dan memang tidak akan berlaku dalam negara yang mengamalkan undang-undang rimba ini.



Oleh yang demikian, kesimpulannya di sini, janganlah kita terlalu prejudis terhadap sesuatu bangsa itu. Memang tidak dinafikan kes jenayah di kalangan masyarakat India begitu tinggi di negara ini, tapi bila ia berlaku dalam keadaan yang meragukan dan menimbulkan persoalan terhadap kematiannya, marilah kita menolak sebentar sentimen perkauman kita dan selamilah kesedihan dan ratapan keluarganya yang menerima mayat anak dalam keadaan yang lebam, calar-calar serta menjadi deraan anggota keselamatan yang kita harap dapat melindungi kita yang hidup di bumi yang aman dan damai ini (betul ke begitu). Kalau insiden ini berlaku dalam kalangan keluarga kita, anak, adik, anak saudara, cucu, cicit dan sebagainya, adakah kita akan terima dengan penuh redha tanpa mempersoalkan sebarang keraguan yang timbul. Aa..lu fikirlah sendiri (meminjam kata-kata Nabil Raja Lawak).

Salam buat kali ini.

Lawati blog saya di http://hayatireform.blogspot.com









No comments: