Saturday, February 14, 2009

Yang faham dan yang buat-buat tak faham tentang Politik

Assalamualaikum,


Saya kembali menulis artikel setelah hampir 1 minggu menyepi, bukan apa cuma banyak melayari internet untuk perkembangan terkini politik tanahair. Tapi untuk kali ini walaupun masih berkisar pada politik, tapi tidaklah secara menyeluruh. Cuma saya nak berkongsi dengan pembaca mengenai minda masyarakat di Malaysia terutama orang Melayu pemahaman mereka apa itu politik yang sebenarnya.

Kenapa tajuk saya berbunyi seperti di atas. Ini saya merujuk kepada setengah sikap masayarat terutamanya orang Melayu kita berkenaan politik. Oklah kita straight to the point. Pertama adalah mereka yang faham tentang politik.

Sejak krisis yang berlaku di Negeri Perak, apa yang dapat saya simpulkan dan dari pemerhatian saya, rakyat semua bangsa telah pula bangkit dan mula berbicara tentang politik negara. Dalam artikel saya yang lepas bagaimana saya menceritakan tentang teman dan boss saya yang sebelum ini kurang membicarakan pasal politik telah mula bersuara mengenainya. Dan demonstrasi yang berlaku di Bt Chandan sewaktu upacara angkat sumpah telah dihadiri oleh tetamu tidak diundang yang cuba menyekat upacara tersebut dari berlaku. Saya juga dapat melihat dalam You Tube demonstrasi jalanan di Bandar Ipoh di mana rakyat berbilang kaum menyuarakan ketidakpuasaan hati mereka kerana dinafikan hak untuk memilih kerajaan Negeri Perak setelah dinoda oleh UMNO dan BN yang laknat.

Minggun lepas saya telah menghadiri ceramah di Taman Melewar untuk perkembangan terkini krisis di Perak dan saya dapati kehadiran amatlah menakjubkan. Tidak kira apa bangsa, lapisan umur, yang beranak kecil pun hadir. Ada satu famili tu sampai bawa bantal untuk anak-anak yang kecil untuk tidur sementara ibu ayah menikmati ceramah politik. Dan semalam juga saya telah menghadiri ceramah di Shah Alam atas tajuk yang sama. Kehadiran menurut sebuah artikel yang saya baca dianggarkan 8000 orang yang hadir. Saya menyaksi sendiri ceramah tersebut dan saya lihat sendiri kehadiran memang ramai. Di dalam pun saya dapat anggarkan dalam 3000 orang dan apabila selesai ceramah, saya dapati setiap ruang di luar kawasan Dewan tersebut penuh dengan manusia. Dan benarlah seperti dilaporkan bahawa kehadiran malam semalam di Shah Alam berjumlah 8000 orang. Tapi ini mungkin tidak akan dilaporkan dalam media arus perdana kerana memang mereka kurang pandai mengira, bak kata DSAI media kerajaan cuma boleh kira setakat 3 angka saja, lebih mereka tak tahu. Ada kebenaran tu.

Ini menunjukkan bahawa rakyat dari segenap lapisan telah mula memahami tentang hak mereka sebagai rakyat dalam menentukan arus politik negara. Dalam PRU 12 yang lalu, kebanyakan penganalisis politik menyatakan kebangkitan rakyat tentang politik telah naik dengan begitu mendadak sekali dan ini masih belum dapat difahami oleh BN mahupun UMNO. Kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah dari UM menunjukkan rakyat terutamanya golongan muda telah faham apa itu politik dan peranan mereka sebagai pengundi. Trajedi 1998 serta akses komunikasi tanpa sempadan telah membangkitkan semangat mereka untuk diterjemahkan pada kertas undi. Mungkin waktu itu mereka masih di bangku sekolah dan apabila tiba 2008, inilah masa mereka untuk menunjukkan kuasa pada BN supaya jangan diperkecilkan hak mereka.

Di atas adalah sedikit tentang mereka yang faham tentang politik. Sekarang kita ulas pula ciri-ciri mereka yang buat-buat tak faham (atau memang tak nak faham) pasal politik. Melalui internet jugalah saya dapat membaca setengah artikel yang mempertikaikan tindakan mereka yang berdemonstrasi di jalanan sebagai tidak menghormati Sultan dan melanggar budaya sebagai orang Melayu dan Islam. Saya nak tanya pada mereka yang berfikiran seperti ini. Sebagai seorang yang mengakui dirinya Islam memang wajib mereka taat kepada pemerintah selagi pemerintah itu berpegang pada prinsip yang ditetapkan dalam hukum Islam. Bagaimana pula sekiranya pemerintah melanggar hukum-hukum yang ditetapkan dan menafikan hak mereka sebagai rakyatnya. Adakah kita sebagai rakyat patut berdiam diri saja dan menyerah pada takdir semata-mata. Tidakkah segala ketentuan dari Allah itu adalah untuk kita berfikir apa hikmahnya sesuatu takdir yang Allah berikan pada kita. Kita disuruh untuk memperbetulkan di mana kepincangan yang ada sepertimana berlaku dalam pemerintahan seorang Khalifah yang meminta umatnya untuk menegurnya sekiranya beliau membuat kesilapan. Ini seorang Khalifah, apa bezanya dengan Sultan yang bukan maksum.

Ada juga cakap-cakap yang kurang enak untuk didengar seperti mengatakan DS Ir Nizar sebagai boneka kepada DAP dalam pemerintahan Negeri Perak. Untuk pengetahuan mereka yang tak faham tentang perlembagaan negeri Perak, ada satu artikel yang menyatakan hanya mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam sahaja yang layak menjadi Menteri Besar Negeri Perak. Sungguhpun DAP memenangi kerusi yang banyak sewaktu PRU 12 yang lalu, disebabkan oleh artikel itu menyebabkan DS Ir Nizar sahaja yang layak untuk memimpin Negeri Perak. Jadi tohmahan yang mengatakan DS Ir Nizar sebagai boneka adalah hanya untuk mengelirukan lagi fikiran rakyat terutamanya segelintir rakyat di negeri Perak yang masih totok kemelayuanya. Kalau isu tanah yang menjadi mereka marah dengan Pakatan Rakyat, itu hanyalah kenyataan orang yang kecewa kerana tempolok mereka tak dapat. Cuba kalau mereka yang dapat tanah tu, senyap ajelah. Maklumat yang saya terima sewaktu menghadiri ceramah Pakatan Rakyat bahawa pemberian tanah di Negeri Perak yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat adalah samarata tidak mengira Melayu, Cina mahupun India. Isu ini sebenarnya telah lama dibangkitkan oleh rakyat sewaktu pemerintahan BN yangmana setiap kali pilihanraya, skrip mereka tetap sama, akan beri geran kalau BN memerintah. Dek kerana tak tahan dengan janji manis BN maka rakyat memberi mandat pada Pakatan Rakyat dan hasilnya, mereka dianugerahkan geran setelah hampir berpuluh tahun memohonnya dari BN. Padan muka BN.

Pada mereka yang sibuk sangat mempertikaikan soal tanah orang Melayu di beri pada bangsa lain, marilah kita lihat pula kisah tanah rakyat di negeri Selangor yang dirampas oleh seorang manusia berjawatan ADUN yang berjaya memiliki tanah rakyat untuk dibina mahligai bagaikan istana Buckingham. Tak usah nak disebut namanya kerana dia pun dah jadi arwah. Hanya Tuhan sajalah yang membalas apa juga kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh umatnya. Apa pula komen mereka tentang kes ini, bukankah orang Melayu yang diamanahkan untuk mempertahan hak orang Melayu, dia sendiri yang rampas tanah orang Melayu. Dan begitu juga dengan kes di negeri Pulau Pinang, tanah-tanah orang Melayu banyak dirampas sewaktu pemerintahan BN untuk diberi pada kroni-kroni bagi tujuan pembangunan, mengapa ini tidak dipersoalkan. Sewaktu DAP berjaya membentuk kerajaan pada PRU 12 yang lalu, adalah cakap-cakap yang mengatakan Pulau Pinang dah diperintah oleh orang Cina. Pada mereka yang berfikiran sebegini, saya nak tanya pula, Ketua Menteri sebelum DAP tu orang Islam ke? Sendiri mahu ingat le!!

Jadi nasihat saya pada mereka yang masih buat-buat tak faham mengenai masalah politik negara ini, cubalah lihat dengan mata kepala sendiri segala kemusnahan, kejahatan, kerakusan dan ketamakan pemimpin BN terutamanya UMNO yang telah mengucarkacirkan negara ini demi survival mereka untuk terus memerintah. Saya yang hampir setengah abad ini pun khuatir pemimpin macamana yang nak saya tinggalkan setelah saya pergi meninggalkan dunia ini. Adakah pemimpin yang hanya memenuhi kantung mereka dan mengkayakan kroni-kroni mereka atau pemimpin yang amanah yang boleh mentadbir negera ini mengikut lunas-lunas undang-undang dan mempertahan hak kita sebagai rakyat. Bagaimana pula dengan mereka yang diamanahkan untuk mentadbir keselamatan, badan kehakiman, institusi raja, adakah kita nak mereka mengikut sahaja telunjuk pemimpin yang zalim ini. Pada saya sebagai seorang manusia yang beragama Islam dan berwarganegara Malaysia, saya akan terus istiqamah untuk menentang segala bentuk pencerobohan ke atas hak asasi manusia dan tidak sesekali saya akan tunduk dan lentuk pada peminpin yang tidak amanah, rasuah, zalim dan berbagai lagi kerosakan yang bakal dilakukan pada negara yang dimana akan didiami oleh anak cucu cicit keturunan saya nanti. Wassallam.

No comments: