Sunday, February 28, 2010

Salam Maulidur Rasul

Assalamualaikum,

Belum terlewat untuk saya mengucapkan Salam Maulidur Rasul pada semua umat Islam walaupun sudah hampir 3 hari berlalu. Marilah kita sentiasa bersalawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta menjadi umatnya yang istiqamah dengan ajaran Islam yang benar dan suci ini. Janganlah kita menjadikan 12 Rabiul Awal sebagai sorakan dan laungan selawat semata-mata pada setiap tahun tapi dalam masa yang sama menolak segala hukum dan suruhan yang di bawa oleh Islam ke atas semua umatnya.

Pada pagi Jumaat iaitu cuti umum sempena Sambutan Maulidur Rasul, aku tak kemana-mana hanya menonton dari TV perarakan yang diadakan di Putrajaya di peringkat kebangsaan. Baik apa juga perarakan yang dianjurkan di negara ini, aku memang jarang hadiri, lebih selesa menonton dari kaca TV saja. Pada aku, kehadiran di perarakan seperti begini memanglah bagus, sekurang-kurangnya kita dapat menghayati sendiri sambutan terhadap kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. secara live serta menghayati perit jerih perjuangan Rasullullah dalam menegak agama Islam yang suci ini, tapi janganlah pula selepas hadir perbarisan, apa yang dihayati tinggal penghayatan saja, amalannya entah ke mana. Contoh yang dapat aku berikan adalah sehari selepas sambutan Maulidur Rasul, ada pula konsert Sorakan 1 malaysia 1 dunia sempena World Cup yang diadakan di Bukit Jalil dengan hidangan artis-artis tanahair. Ha! baguslah tu, lepas salawat memuja nabi, esok bersorak sorai memuja bola. Waullahuallam!!

Di kawasan perumahan ku Bandar Tasik Puteri, ada juga perayaan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Bandar Tasik Puteri (BTP). Hari Jumaat malam, ada persembahan Nasyid oleh 2 kumpulan Nasyid iaitu Assaufee dan UNIC. Ramai juga yang hadir bagi mendengar alunan lagu-lagu yang memuja Nabi Muhammad S.A.W. Pada aku terasa tenang dan sedap telinga mendengar senikata yang banyak memuja Nabi dan di selang seli dengan tazkirah oleh kumpulan nasyid tersebut. Inilah hidangan halwa telinga yang boleh memberi kita keinsafan dan kesedaran betapa susahnya Nabi Muhammad S.A.W dalam menegakkan agama Islam yang suci ini. Daripada mendengar lagu-lagu yang entah apa bunyi dan tidak membawa apa-apa erti, adalah lebih baik remaja-remaja masakini diperdengarkan dengan lagu-lagu yang mengisahkan tentang perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Sekurang-kurangnya mereka suatu hari nanti akan menjadi insan yang sanggup mempertahankan kesucian agama Islam dari golongan Yahudi yang cuba memburuk-burukkan Islam di mata dunia. Amin.

Pada keesokan harinya (Sabtu) ada perarakan Maulidur Rasul. Aku tak ikut serta sebab aku memang tak larat nak jalan jauh-jauh. Tapi aku terus ke Masjid Bandar Tasik Puteri dalam jam 9.15 pagi selepas kumpulan berarak selamat tiba di masjid tersebut. Alhamdulillah, ramai juga yang hadir, baik yang tua mahupun yang muda. Tahniah pada Jawatankuasa Masjid kerana mampu mengadakan sambutan Maulidur Rasul sejak semalam hingga ke hari ini yang akan berakhir pada malam ini dengan acara kemuncak iaitu Forum Perdana. Aku berada di Masjid selama hampir 2 jam kerana selain perarakan, ada juga gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, Tabung haji, Zakat dan SPR. Aku dan suami ambil kesempatan untuk buat pertukaran tempat mengundi dari Ampang ke Tasik Puteri kerana alamat dalam kad pengenalan telahpun ditukar ke Bandar Tasik Puteri. Alhamdulillah, dapat juga aku buat pertukaran melalui program Maulidur Rasul, tak payahlah aku ke pejabat SPR untuk buat pertukaran.

Pada sebelah malam, aku telahpun hadir di masjid BTP untuk acara kemuncak iaitu Forum Perdana. Aku sebenarnya ingin menyaksikan tayangan video Sirah Rasullullah yang sepatutnya diadakan selepas maghrib, tapi oleh sebab-sebab teknikal, tayangan tidak dapat diteruskan. Pihak masjid hanya menayangkan selawat Nabi serta video perarakan yang diadakan pada sebelah pagi tadi sementara menunggu waktu Isyak. Apabila tiba waktu Isyak, kami solat jamaah dan terus ke acara Forum Perdana.

Forum perdana yang bertajuk "Kami Cintai Rasulullah" banyak mengupas kisah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W yang harus diterjemahkan dalam kehidupan kita masa kita. Ahli-ahli panel banyak memberi contoh betapa peranan ulamak dan umarak (pemerintah) harus berjalan seiring agar pemerintahan dapat dilaksanakan menurut ajaran Islam yang sebenarnya. Ulamak harus memainkan peranan dalam menegur umarak sekiranya mereka tersasar dari landasan permerintahan. Tapi apa yang berlaku sekarang adalah ulamak hanya membisu apabila umarak melakukan kezaliman serta tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Disebabkan pangkat dan kedudukan, apa saja kesilapan pemerintah, dibiarkan begitu saja. Contoh yang paling dekat, sudah semestinya negara 1 malaysia yangmana kemungkaran pemerintah sudah sampai ke tahap yang maksima. Apa saja yang mereka buat yang kebanyakannya menyusahkan rakyat, pihak ulamak diam seribu bahasa. Hanya sesekalilah bersuara itupun setelah mendapat restu pemerintah. Jangan dikatakan tak bekerja pulak.

Ahli panel juga menyentuh senario masakini di mana trend para remaja lebih memuja para artis dari mengenali para ulamak. Kalau ditanya pada mereka tentang artis pujaan mereka, sampai benda dalam baju pun mereka tahu. Tapi bila kita tanya siapa pejuang-pejuang Islam yang tersohor, jangankan nak sebut nama, bila diberi nama pun ada yang langsung tak kenal. Mereka tak kenal siapa Salahuddin Ayubi, siapa di Umar Abdul Aziz, siapa dia Umar Al Khatab, yang mereka kenal Mawi, Hafiz, Mila, Nabil dan entah siapa lagi. Usah ditanya siapa juara AF, yang kalah dalam AF pun mereka kenal. Itulah gejala yang telah menimpa remaja kita masa kini. Dan disentuh juga sikap ibu bapa masakini di mana trend mereka lebih seronok pabila anak kecil mereka boleh menyanyi lagu-lagu cinta daripada membaca ayat suci Al Quran. Mereka akan melonjak gembira pabila anak mereka pandai menyanyi dan menari, tapi tak begitu gembila kalau anak mereka pandai mengaji. Kadang-kadang saya juga jadi heran, ada juga mak bapa yang sanggup berjuang habis-habisan agar anak mereka berjaya dipilih menjadi pelajar di AF daripada dipilih menjadi pelajar di AQ (Akademi Al quran).

Kesimpulannya, sempena Maulidur Rasul ini, semua harus memainkan peranan agar apa yang diperjuangkan oleh Nabi Junjungan Besar kita tidak sia-sia begitu saja. Sabda Nabi, aku tinggalkan kamu dua perkara iaitu al Quran dan Sunnah, agar kamu terus berada di landasan yang benar. Oleh itu saya mengingatkan diri saya sendiri serta semua umat Islam di mana saja agar janganlah kita menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai sorakan selawat semata-mata tapi adalah sorakan dan laungan agar Islam terus tertegak di dunia ini dan tidak diperkotak katikkan oleh anasir-anasir jahat terutama puak Yahudi yang memang dari azali cuba merosakan akidah kita sebagai umat Islam.

Salam Maulidur Rasul dan insyaallah kita jumpa di tahun hadapan. Wassallam.

Monday, July 20, 2009

Dulu PDRM, kini SPRM pulak....

Assalamualaikum,

Agak lama juga saya tidak menulis artikel, disebabkan kesibukan tugas serta hal-hal peribadi. Tapi kali ini memang saya ingin menulis apatah lagi satu nyawa melayang dengan begitu mudah di tangan mereka-mereka yang sepatutnya kita percaya seratus peratus (ye ke!!).

Kalau terdahulu nyawa seorang anak India, A Kugan melayang dengan entengnya di tangan PDRM, kini nyawa anak seorang Cina pula, yang lebih menghairankan, di tangan SPRM (wah terror juga SPRM ni ye). Mereka sepatutnya menyoalsiasat hal-hal rasuah saje, tapi macamana pula boleh tercabut nyawa orang yang disoal siasat yang waktu itu di bawah tanggungjawab mereka. Ini yang menimbulkan syak wasangka yang sukar untuk kita nafikan. Walaupun beberapa pak menteri dan mereka yang berwajib atas tu mengeluarkan kenyataan agar jangan membuat spekulasi yang boleh menyukarkan penyiasatan. Memang mudah untuk mereka bercakap kerana mangsa bukan kaum kerabat mereka. Dan yang lebih mengelikan hati saya terkeluarnya kenyataan bodoh dari seorang menteri pencacai di JPM yang menyatakan mereka tak tahu pulak yang Teoh ni nak terjun bangunan. Bangang dan bengap punya kenyataan!!

Semalam saya sempat menonton upacara pengkebumian mendiang Teoh di ASTRO TV. Dapat saya gambarkan kesedihan kedua ibubapa mendiang meratapi kematian anak kesayangan mereka. Menitis airmata saya menyaksikan suasana sedih ini seolah-olah Teoh itu adalah anak saya sendiri. Memang kita sepatutnya berperasaan sedemikian kerana yang melayang itu adalah nyawa anak Malaysia, waimma ia bangsa Cina, India, Kadazan, orang Asli atau apa bangsa pun. Janganlah kita prejudis terhadap sesuatu bangsa itu. Dan janganlah kita hanya sanggup berdemonstrasi jalanan apabila yang melayang itu kaum kerabat kita saja.

Seperti biasalah, akhbar media perdana mula mencanangkan tajuk-tajuk akhbar yang kita sendiri boleh fikirkan. "Jangan politikan kematian Teoh", "Pembangkang berselindung di sebalik kematian Teoh" dan berbagai lagi. Dan yang paling terbaru, isu YB Nizar memegang lilin sebagai mengenang kematian Teoh. Dalam kesibukan kita mencari punca kematian Teoh, BN cuba mempermainkan isu yang remeh temeh agar mengalih perhatian rakyat dari membicarakan kes ini. Pada hemat saya, apa juga pandangan dan arahan dari kerajaan BN ini, kita tolak ketepi dan kita teruskan usaha kita dalam apa juga cara agar terbongkar segala kekalutan yang BN sendiri mulakan.

Yang paling mengherankan saya adalah sikap SPRM yang sepatutnya menyiasat apa juga laporan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak tak kiralah Pakatan Rakyat atau pihak BN sendiri. Tapi apa yang jelas, SPRM lebih pantas dan cekap bagai kilat apabila isu seperti lembu, pengagihan wang peruntukan yang jumlahnya terlalu sedikit kepada rakyat, menjadi agenda penting mereka untuk disiasatkan. Bagaimana dengan kes Toyo rumah Balinese, penyelewengan wang BALQIS, PKFZ dan tah apa lagi yang melibatkan berbillion-billion, apa SPRM pejam sebelah mata je. Dalam kebrobokan mereka cuba mengaitkan, dikatakan penyelewengan oleh SPRM terhadap beberapa ADUN DAP, dengan efisyennya mereka menyerbu pejabat ADUN-ADUN terbabit untuk mendapatkan bukit yang mungkin akan mereka ubah suai agar ia boleh dijadikan kes penyelewengan untuk tujuan siasatan.

Tapi Allah maha kaya, perancangan manusia belum tentu boleh melawan perancangan Allah, maka Allah cabutkan nyawa insan bernama Teoh ni agar terbongkar apa saja perancangan mereka (tak tahulah siapa punya arahan) untuk memburukkan imej pemimpin Pakatan Rakyat. Inilah slogan 1 Malaysia yang dilaungkan oleh Najib, "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan". Tapi saya nak ubah sikit slogan ni agar sesuai dengan situasi masakini, "Rakyat diketepikan, Pemimpin diutamakan". Itu barulah betul dengan senario yang ada kat Malaysia la ni.

Kes ini akan terus disiasat, oleh siapa, tentulah PDRM yang kita masih sangsi akan ketelusan mereka. Bak kata YB Husam, PDRM ke, SPRM ke, sama saja. Dan ada pula komen-komen nakal dari penulis amatur yang menyamakan siasatan ini bagaikan Penyamun menyiasat Penyangak. Macam kata Tan Sri P. Ramlee, abang-abang di sini penyamun, bapa di sana penyangat, dah kena dah Penyamun jual Penyangat, apa salah je. Begitulah kira-kira apa yang akan kita saksikan nanti bagaiamana kes ini akan disiasat, akan timbul juga syak wasangka dari rakyat.

Jadi inilah yang akan memeningkan BN lebih-lebih lagi Najib. Apa yang dibuatnya serba tak mengena. Kes di Perak belum tentu hujung pangkalnya. Ingatkan nak cuba pula di Selangor, timbul pula masalah yang membuatkan BN terkedu dan tersentak. Walaupun mereka begitu melonjak melantun dapat mengurangkan majoriti PRK di Manek Urai, nah Tuhan bagi pula masalah mereka yang 1 Malaysia akan saksikan betapa tertekan, ternazaknya BN dalam mengekalkan kuasa pemerintahan mereka yang sudah hampir ke jalan penghujungnya. Maka di PRU 13 nanti, rakyat akan bertekad dan menanamkan azam yang kuat agar BN dan juak-juaknya akan dibenamkan terus dari mata dunia ni, dan hanya akan dijadikan sebagai memori dalam lipatan sejarah, sebagaimana tumbangnya kerajaan Kesultanan Melaka di tangan Portugis. Kita saksikan nanti di PRU 13, insya allah!!! Takbir, Reformasi, Makkal Sakti.


Layari blog saya di http://www.hayatireform.blogspot.com/

Monday, June 15, 2009

Bila anak anda yang jadi kaki pukul...

Assalamualaikum,



Hari ini saya ingin membicarakan soal moral dan disiplin pelajar-pelajar di negara kita masakini. Selalunya artikel saya lebih banyak berkisar pada politik saja, kali ini lain dari yang lain iaitu masalah anak remaja yakni kaki pukul.


Sering kita dikejutkan dengan berita buli, pukul dan gangsterisme di kalangan pelajar yang dipaparkan di dada akhbar negara. Kadang-kadang naik muak dan jelak pula membaca kisah sebegini sehingga timbul pula soal macamana masalah ini dapat di atasi di semua peringkat. Adakalanya kita akan terus menyalahkan ibu bapa kerana tidak dapat membimbing anak-anak mereka untuk lebih berdisiplin. Pada pelajar yang menjadi mangsa kaki pukul, kita terus melontarkan rasa simpati yang tidak terhingga tanpa kita menyelidiki apa yang sebenarnya berlaku sehingga menimbulkan pukul memukul ini.

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca bagaimana perasaan saya atau mana-mana ibu bapa yang anak mereka pula yang menjadi kaki pukul. Tapi kes saya ini tidaklah seberat yang berlaku di sekolah sehingga menjadi kes polis. Tapi ini adalah sebagai pengajaran dan renungan kepada semua ibu bapa supaya jangan terlalu mengharap anak kita adalah baik sepenuhnya.

Anak saya bersekolah di sebuah sekolah agama berasrama penuh di Selangor dan tahun ini adalah tahun keenam beliau di sana untuk menduduki peperiksaan Tinggi Agama. Selama hampir 6 tahun di sekolah tersebut, tidak pernah beliau terlibat dalam apa juga masalah disiplin yang berat. Beliau merupakan antara pelajar yang paling aktif di sekolah tersebut dan sering melibatkan diri dalam aktiviti dalam dan luar sekolah. Beliau juga merupakan seorang pengawas dari Tingkatan 4 hingga Tingkatan 5 dan sering memegang beberapa jawatan asrama dan sukan. Tidak pernah saya menerima aduan atau tuduhan dari pihak sekolah yang anak saya melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyebabkan beliau digantung dari asrama. Dan saya sebagai seorang ibu sering mendoakan agar anak saya dilindungi dari segala kecelakaan atau terlibat dalam apa-apa juga kegiatan yang tidak sihat. Saya juga memanjangkan doa agar anak saya mempunyai akhlak yang baik sepanjang berada di asrama. Saya juga sering menasihati beliau supaya menghormati guru dan juga pelajar-pelajar lama dan baru. Anggap semua pelajar yang tinggal di asrama sebagai adik beradik sendiri, itu pesan saya.

Tapi Allah Maha Kuasa, ingin menduga keimanan dan ketakwaan umatnya dalam menghadapi situasi yang berat ini. Anak saya dan beberapa temannya didakwa memukul beberapa pelajar tingkatan 2 hanya berpunca dari caci mencaci dan tak menghormati pelajar lama, itu alasan yang diberikan oleh anak saya. Allah saya yang tahu bagaimana perasaan saya di saat anak saya menyampaikan berita ini sewaktu saya masih berada di pejabat. Perasaan marah yang tidak terhingga saya lontarkan pada anak saya kerana sebagai pelajar senior, beliau sepatutnya lebih rasional dalam menangani situasi begini. Kesal dan sedih itulah yang dapat saya rasakan di saat teman-teman sepejabat cuba meredakan emosi saya ketika itu. Saya tidak tergamak untuk memaklumkan perkara ini pada suami saya kerana saya khuatir beliau akan terkejut memandangkan beliau ada penyakit darah tinggi. Cuma yang dapat saya luahkan adalah pada anak saya yang bertugas di Sarawak dan beliau juga menasihati saya agar tidak menyampaikan berita ini pada suami saya.

Oleh kerana kes ini akan dibawa untuk siasatan dan tindakan susulan akan diambil terhadap anak saya dan teman-temannya, beliau telah digantung asrama untuk sementara waktu. Setiba dirumah tatkala soalan diajukan padanya mengapa beliau boleh bertindak sedemikian, alasan yang sama, pelajar-pelajar tersebut enggan bekerjasama dan sering mengeluarkan kata-kata keji hingga lucah terhadap pelajar-pelajar lama. Saya terus menasihati anak saya agar dapat mengawal sifat marah dan baran dalam dirinya terutama menghadapi kerenah pelajar yang baru. Kalaulah di sekolah sebegini beliau tidak dapat mengawal emosinya, bagaimana pula beliau akan berhadapan dengan situasi sewaktu di universiti dan seterusnya bekerja kelak. Di sana nanti berbagai kerenah manusia akan beliau hadapi. Di peringkat persekolahanlah tempat untuk kita mendidik jiwa dan rohani kita agar menjadi umat yang berakhlak dan bermoral tinggi, itu pesan saya padanya.

Dipendekkan cerita, pihak sekolah telah mengenakan tindakan gantung asrama terhadap anak saya serta teman-temannya. Perasaan saya amatlah terguris dan sedih kerana saya memang tidak menyangka pihak sekolah akan menggantung anak saya dari asrama. Apa yang ada dalam fikiran saya, adalah sekadar amaran buat kali pertama saja. Tapi apalah kuasa yang ada pada saya hanya sekadar seorang ibu saja. Saya hanya mampu menghantar surat rayuan pada pihak sekolah agar membenarkan anak saya terus tinggal di asrama hingga peperiksaan Tingkatan 6 yang tinggal beberapa bulan saya lagi. Selain dari faktor kewangan, alasan yang paling kuat saya kemukakan adalah sumbangan yang telah anak saya berikan pada pihak sekolah serta tempoh yang agak lama beliau bersekolah di sana perlu diambil kira juga. Saya tidak menafikan yang anak saya telah melakukan kesalahan yang agak berat, tapi pihak sekolah juga perlu memberi beliau peluang untuk membaiki segala kesalahan yang telah dilakukannya.

Alhamdulillah, rayuan saya telah dipertimbangkan oleh pihak sekolah dan anak saya dibenarkan tinggal di asrama dengan beberapa syarat. Saya dan suami saya serta anak saya telah menandatangani surat perjanjian agar perkara sebegini tidak berulang lagi. Saya juga mengucapkan terima kasih pada pihak Pengetua dan sekolah kerana memberi peluang untuk anak mengubah sikapnya, alhamdulillah.

Saya redha dengan ketentuan yang Allah berikan pada saya dalam menghadapi situasi sebegini. Sekurang-kurang kita tahu di mana kelemahan dan kekurangan yang ada pada anak kita. Nasihat saya pada ibu bapa yang berhadapan dengan masalah begitu, janganlah terus melenting atau mengambil tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Anak kita kalau dah salah, tetap salah. Apa yang harus kita lakukan adalah perbaiki di mana kesilapannya baik pada anak kita mahupun pada diri kita sebagai ibu bapa.

Terus terang saya katakan saya tidak malu untuk berkongsi pengalaman begini dengan semua orang. Pada teman, saudara mara dan jiran, saya tidak pernah sorok perkara begini dari pengetahuan mereka. Ini baru masalah kecil, Allah dah duga kita, macamana kalau anak kita terlibat dengan masalah lebih besar atau masalah jenayah, inilah ujian yang kita kena tempuhi. Pada semua ibu bapa yang mempunyai anak remaja, awasilah anak-anak kita dan paling penting, janganlah kita menaruh sepenuh harapan yang anak kita adalah sebaik-baik insan di dunia ini. Ada kala dan ketika mereka akan terjebak dengan situasi yang boleh mengganggu gugat emosi dan perasaan mereka. Selalulah berdoa pada Allah S.W.T agar kita diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi apa juga kemungkinan. Sekian untuk kali ini dan renung-renunglah apa yang telah saya coretkan di atas. Wassallam.

Layari blog saya http://hayatireform.blogspot.com/

Wednesday, April 8, 2009

BN tersepit di dua bukit

Assalamualaikum,


Mungkin di waktu ini, Pakatan Rakyat sedang meraikan kemenangan di Bt Gantang dan Bt Selambau sungguhpuh tewas di Batang Ai. Dan bagi BN pula sedang mengkaji dan menghitung bila pula PRK selanjutnya, alamat tertewaslah lagi, begitulah gamaknya.


Saya tak mahu menyentuh kemenangan BN di Batang Ai yang mana telah diramalkan memang berpihak pada BN. Pada saya kesanggupan dan keberanian PKR bertanding di sana haruslah dipuji walaupun sayap mereka baru saja nak tumbuh di Bumi Kenyalang. Dari cakap-cakap yang tak professional dengan teman-teman, rakyat di Bumi Kenyalang terutama di kawasan pendalamam memang pekat lambang dacingnya. Jadi PKR haruslah bekerja lebih kuat untuk menawan hati rakyat pribumi di sana. Di kawasan bandar Sarawak, ada harapan yang cerah kerana mereka terdedah dengan maklumat yang lebih luas. Berilah sedikit masa pada PKR untuk menguatkan jentera mereka di sana dan insya allah kemenangan akan muncul jua.


Kemenangan DS Nizar di Bt Gantang memang telah diramalkan oleh penganalisis politik tempatan mahupun luar. Dan jumlah majoriti yang beliau perolehi menepati ramalan yang dibuat oleh penganalisis tersebut. Maklumat yang saya perolehi dari blog dan kenalan menyatakan, media arus perdana masih lagi cuba menenangkan hati pemerintah yang telah kalah teruk dalam PRK kali ini. Jumlah majoriti yang diperolehi DS Nizar walaupun meningkat hampir 1200 undi, media arus perdana menyatakan itu adalah undi simpati. Dan yang paling melucukan adalah pulak 'professor kangkung' masih menafikan kredibiliti DS Nizar. Kata beliau, kalau benarlah DS Nizar begitu polular, sepatutnya beliau mendapat majoriti yang lebih besar dari apa yang diperolehinya. Ini bunyi cakap-cakap orang yang telah kecewa gamaknya. Pada hemat sayalah, saranan PM baru yang mahu media bersifat lebih terbuka, hanyalah omong-omong kosong. Dah hampir tersungkur di dua bukit (termasuk Bt Selambau) masih lagi nak berdendang sayang mengampu dan memuji pemerintah. Alahai.....!!!


Kemunculan mantan PM Tun Mahathir juga tidak banyak membantu BN untuk meraih sokongan pengundi pada mereka. Mungkin DS Najib salah perkiraan membawa masuk Tun Mahathir, harapkan kemenangan, alih-alih majoriti bertambah-tambah pulak. Saya sarankan Tun Mahathir duduk ajelah dirumah, beribadat ke, tanam bunga ke dan apa saja aktiviti harian yang telah beliau tinggalkan hampir 20 tahun sewaktu menjadi PM dulu. Biarlah cokanak cokanek yang pegang tampuk pemerintah ni menghadapi PRK dengan cara mereka sendiri. Buang masa dan buang tenaga aje Tun Mahathir berceramah di Bt Gantang, rakyat bertambah meluat, undi masuk dalam tong PAS. Padan muka!!!


Kita pergi pula ke Bt Selambau. Kemenangan Manikumar calon PKR memang juga telah dijangkakan oleh penganalisis politik dan majoriti juga bertambah kalau tak silap sayalah. Walau apapun PKR telah berjaya menafikan BN daripada terus mencengkam kehidupan penduduk di Bt Selambau. Sebelum keputusan diumumkan, saya sempat melayari internet untuk mengetahui keputusan terkini, saya terbaca yang Samy Vello telah lebih awal meninggalkan Bt Selambau kerana telah menjangkakan ketewasan mereka di sana. Ini dua kali tamparan pada Samy Vello setelah terjunam di PRU 12. Masyarakat India di Bt Selambau dan juga seluruh Malaysia telah menolak terus Samy Vello dan MIC dari menjadi pelindung mereka. Nampak gayanya Samy Vello kena reform MIC ataupun beliau pencen saja jaga cucu....!!


Dalam diskusi di ASTRO Awani, ahli panel yang sepertimana waktu PRK di Pmtg Pauh dan K.Trengganu, berbuih-buih dah menyarankan agar BN harus mengubah cara politik mereka. Politik yang berdasarkan pembangunan mee segera dah tak sesuai lagi dalam era globalisasi dan maklumat tanpa sempadan ni. Cara pemikiran pengundi terutama pengundi muda antara 20 hingga 40 tahun telah menjangkau informasi kalau nak dibandingkan dengan media perdana yang asyik-asyik menayangkan propaganda dan kebaikan pemerintah. Sekelumit saja pembangkang diwar-warkan dalam media arus perdana. Kalau adapun lebih bersifat negatif dan cuba memesongkan akal fikiran rakyat. Sewaktu kempen Bt Gantang, disiarkan ucapan DSAI yang entah zaman bila bercakap pasal dasar kerajaan. Hey, come on lah, ni zaman IT, rakyat dah tak boleh terima cara media memasukkan imput yang tak berasas ni. Reformasi media arus perdana yang dicanangkan oleh DS Najib tidak akan menjadi kenyataan sekiranya media masih condong kepada pemerintah dan membelakangi hak rakyat yang dahagakan maklumat yang tepat dan benar.


Waktu perhimpunan UMNO yang lalu, DS Najib memberi slogan "Berubah atau rebah" yang membawa erti kalau UMNO tak berubah, mereka pasti rebah. Pada sayalah, slogan tersebut patut berbunyi begini "Rebah atau berubah", ertinya UMNO memang menunggu masa untuk rebah kerana UMNO memang tak akan berubah. Jadi fikir-fikirkan lah...!!


Layari blog saya di www.hayatireform.blogspot.com

BN Tersungkur di dua Bukit

BN TERSUNGKUR DI DUA BUKIT
HANYA BATANG YANG MAMPU DIKEPIT
TAK DAPAT TERIMA BERITA YANG PERIT
MUHYIDDIN LARI TERJENGKIT-JENGKIT

APA DAH JADI DI KEDUA BUKIT
HABIS PROJEK DAN MENABUR DUIT
RAKYAT MASIH TAK DAPAT DISEPIT
APA DIKATA, SEMUA MASUK DALAM PARIT

NAJIB DAH MULA MENJERIT-JERIT
RAMBUT PUN GUGUR SEDIKIT DEMI SEDIKIT
HARAPKAN BANTUAN DARI CHE DET
MAJORITI BERTAMBAH BERBUKIT-BUKIT

DARI BT GANTANG HINGGALAH KE PARIT
SOKONGAN RAKYAT TAMBAH BERBANGKIT
KESIANLAH NAJIB OTAK DAH SAKIT
KENA MINTA TOLONG DARI PELESIT

WALAUPUN PR TAK DAK DUIT
MAMPU MENAWAN RAKYAT YANG TERSEPIT
DALAM SUASANA YANG SANGAT SENGIT
EMPAT PRK KEMENANGAN TERCATIT

JANGANLAH DIRATAPI KEDUA BUKIT
REDHAKAN SAJA WALAUPUN PERIT
BERUBAH ATAU REBAH SLOGAN YANG PAHIT
SILAP HARIBULAN, KEDALAM KUBUR BN DIHIMPIT

TAKBIR...REFORMASI...MAKKAL SAKTI

Saturday, February 14, 2009

Yang faham dan yang buat-buat tak faham tentang Politik

Assalamualaikum,


Saya kembali menulis artikel setelah hampir 1 minggu menyepi, bukan apa cuma banyak melayari internet untuk perkembangan terkini politik tanahair. Tapi untuk kali ini walaupun masih berkisar pada politik, tapi tidaklah secara menyeluruh. Cuma saya nak berkongsi dengan pembaca mengenai minda masyarakat di Malaysia terutama orang Melayu pemahaman mereka apa itu politik yang sebenarnya.

Kenapa tajuk saya berbunyi seperti di atas. Ini saya merujuk kepada setengah sikap masayarat terutamanya orang Melayu kita berkenaan politik. Oklah kita straight to the point. Pertama adalah mereka yang faham tentang politik.

Sejak krisis yang berlaku di Negeri Perak, apa yang dapat saya simpulkan dan dari pemerhatian saya, rakyat semua bangsa telah pula bangkit dan mula berbicara tentang politik negara. Dalam artikel saya yang lepas bagaimana saya menceritakan tentang teman dan boss saya yang sebelum ini kurang membicarakan pasal politik telah mula bersuara mengenainya. Dan demonstrasi yang berlaku di Bt Chandan sewaktu upacara angkat sumpah telah dihadiri oleh tetamu tidak diundang yang cuba menyekat upacara tersebut dari berlaku. Saya juga dapat melihat dalam You Tube demonstrasi jalanan di Bandar Ipoh di mana rakyat berbilang kaum menyuarakan ketidakpuasaan hati mereka kerana dinafikan hak untuk memilih kerajaan Negeri Perak setelah dinoda oleh UMNO dan BN yang laknat.

Minggun lepas saya telah menghadiri ceramah di Taman Melewar untuk perkembangan terkini krisis di Perak dan saya dapati kehadiran amatlah menakjubkan. Tidak kira apa bangsa, lapisan umur, yang beranak kecil pun hadir. Ada satu famili tu sampai bawa bantal untuk anak-anak yang kecil untuk tidur sementara ibu ayah menikmati ceramah politik. Dan semalam juga saya telah menghadiri ceramah di Shah Alam atas tajuk yang sama. Kehadiran menurut sebuah artikel yang saya baca dianggarkan 8000 orang yang hadir. Saya menyaksi sendiri ceramah tersebut dan saya lihat sendiri kehadiran memang ramai. Di dalam pun saya dapat anggarkan dalam 3000 orang dan apabila selesai ceramah, saya dapati setiap ruang di luar kawasan Dewan tersebut penuh dengan manusia. Dan benarlah seperti dilaporkan bahawa kehadiran malam semalam di Shah Alam berjumlah 8000 orang. Tapi ini mungkin tidak akan dilaporkan dalam media arus perdana kerana memang mereka kurang pandai mengira, bak kata DSAI media kerajaan cuma boleh kira setakat 3 angka saja, lebih mereka tak tahu. Ada kebenaran tu.

Ini menunjukkan bahawa rakyat dari segenap lapisan telah mula memahami tentang hak mereka sebagai rakyat dalam menentukan arus politik negara. Dalam PRU 12 yang lalu, kebanyakan penganalisis politik menyatakan kebangkitan rakyat tentang politik telah naik dengan begitu mendadak sekali dan ini masih belum dapat difahami oleh BN mahupun UMNO. Kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah dari UM menunjukkan rakyat terutamanya golongan muda telah faham apa itu politik dan peranan mereka sebagai pengundi. Trajedi 1998 serta akses komunikasi tanpa sempadan telah membangkitkan semangat mereka untuk diterjemahkan pada kertas undi. Mungkin waktu itu mereka masih di bangku sekolah dan apabila tiba 2008, inilah masa mereka untuk menunjukkan kuasa pada BN supaya jangan diperkecilkan hak mereka.

Di atas adalah sedikit tentang mereka yang faham tentang politik. Sekarang kita ulas pula ciri-ciri mereka yang buat-buat tak faham (atau memang tak nak faham) pasal politik. Melalui internet jugalah saya dapat membaca setengah artikel yang mempertikaikan tindakan mereka yang berdemonstrasi di jalanan sebagai tidak menghormati Sultan dan melanggar budaya sebagai orang Melayu dan Islam. Saya nak tanya pada mereka yang berfikiran seperti ini. Sebagai seorang yang mengakui dirinya Islam memang wajib mereka taat kepada pemerintah selagi pemerintah itu berpegang pada prinsip yang ditetapkan dalam hukum Islam. Bagaimana pula sekiranya pemerintah melanggar hukum-hukum yang ditetapkan dan menafikan hak mereka sebagai rakyatnya. Adakah kita sebagai rakyat patut berdiam diri saja dan menyerah pada takdir semata-mata. Tidakkah segala ketentuan dari Allah itu adalah untuk kita berfikir apa hikmahnya sesuatu takdir yang Allah berikan pada kita. Kita disuruh untuk memperbetulkan di mana kepincangan yang ada sepertimana berlaku dalam pemerintahan seorang Khalifah yang meminta umatnya untuk menegurnya sekiranya beliau membuat kesilapan. Ini seorang Khalifah, apa bezanya dengan Sultan yang bukan maksum.

Ada juga cakap-cakap yang kurang enak untuk didengar seperti mengatakan DS Ir Nizar sebagai boneka kepada DAP dalam pemerintahan Negeri Perak. Untuk pengetahuan mereka yang tak faham tentang perlembagaan negeri Perak, ada satu artikel yang menyatakan hanya mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam sahaja yang layak menjadi Menteri Besar Negeri Perak. Sungguhpun DAP memenangi kerusi yang banyak sewaktu PRU 12 yang lalu, disebabkan oleh artikel itu menyebabkan DS Ir Nizar sahaja yang layak untuk memimpin Negeri Perak. Jadi tohmahan yang mengatakan DS Ir Nizar sebagai boneka adalah hanya untuk mengelirukan lagi fikiran rakyat terutamanya segelintir rakyat di negeri Perak yang masih totok kemelayuanya. Kalau isu tanah yang menjadi mereka marah dengan Pakatan Rakyat, itu hanyalah kenyataan orang yang kecewa kerana tempolok mereka tak dapat. Cuba kalau mereka yang dapat tanah tu, senyap ajelah. Maklumat yang saya terima sewaktu menghadiri ceramah Pakatan Rakyat bahawa pemberian tanah di Negeri Perak yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat adalah samarata tidak mengira Melayu, Cina mahupun India. Isu ini sebenarnya telah lama dibangkitkan oleh rakyat sewaktu pemerintahan BN yangmana setiap kali pilihanraya, skrip mereka tetap sama, akan beri geran kalau BN memerintah. Dek kerana tak tahan dengan janji manis BN maka rakyat memberi mandat pada Pakatan Rakyat dan hasilnya, mereka dianugerahkan geran setelah hampir berpuluh tahun memohonnya dari BN. Padan muka BN.

Pada mereka yang sibuk sangat mempertikaikan soal tanah orang Melayu di beri pada bangsa lain, marilah kita lihat pula kisah tanah rakyat di negeri Selangor yang dirampas oleh seorang manusia berjawatan ADUN yang berjaya memiliki tanah rakyat untuk dibina mahligai bagaikan istana Buckingham. Tak usah nak disebut namanya kerana dia pun dah jadi arwah. Hanya Tuhan sajalah yang membalas apa juga kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh umatnya. Apa pula komen mereka tentang kes ini, bukankah orang Melayu yang diamanahkan untuk mempertahan hak orang Melayu, dia sendiri yang rampas tanah orang Melayu. Dan begitu juga dengan kes di negeri Pulau Pinang, tanah-tanah orang Melayu banyak dirampas sewaktu pemerintahan BN untuk diberi pada kroni-kroni bagi tujuan pembangunan, mengapa ini tidak dipersoalkan. Sewaktu DAP berjaya membentuk kerajaan pada PRU 12 yang lalu, adalah cakap-cakap yang mengatakan Pulau Pinang dah diperintah oleh orang Cina. Pada mereka yang berfikiran sebegini, saya nak tanya pula, Ketua Menteri sebelum DAP tu orang Islam ke? Sendiri mahu ingat le!!

Jadi nasihat saya pada mereka yang masih buat-buat tak faham mengenai masalah politik negara ini, cubalah lihat dengan mata kepala sendiri segala kemusnahan, kejahatan, kerakusan dan ketamakan pemimpin BN terutamanya UMNO yang telah mengucarkacirkan negara ini demi survival mereka untuk terus memerintah. Saya yang hampir setengah abad ini pun khuatir pemimpin macamana yang nak saya tinggalkan setelah saya pergi meninggalkan dunia ini. Adakah pemimpin yang hanya memenuhi kantung mereka dan mengkayakan kroni-kroni mereka atau pemimpin yang amanah yang boleh mentadbir negera ini mengikut lunas-lunas undang-undang dan mempertahan hak kita sebagai rakyat. Bagaimana pula dengan mereka yang diamanahkan untuk mentadbir keselamatan, badan kehakiman, institusi raja, adakah kita nak mereka mengikut sahaja telunjuk pemimpin yang zalim ini. Pada saya sebagai seorang manusia yang beragama Islam dan berwarganegara Malaysia, saya akan terus istiqamah untuk menentang segala bentuk pencerobohan ke atas hak asasi manusia dan tidak sesekali saya akan tunduk dan lentuk pada peminpin yang tidak amanah, rasuah, zalim dan berbagai lagi kerosakan yang bakal dilakukan pada negara yang dimana akan didiami oleh anak cucu cicit keturunan saya nanti. Wassallam.

Tuesday, February 10, 2009

Najib merancang, Allah menentukan

Assalamualaikum,

Hari ini 10 Feb 2009, tak ada yang lebih penting selain daripada upacara angkat sumpah exco negeri Perak yang minggu lalu telah berjaya merentap kerajaan pilihan rakyat iaitu Kerajaan PR yang telah memerintah hampir 11 bulan. Saya di rumah pun malas nak menonton siaran TV kerana saya lebih maklum isinya tentulah pasal upacara tersebut. Jadi untuk mengisi kekosongan, saya layari internet untuk mendapat maklumat yang lebih tepat dan terkini.

Semalam kita dikejutan dengan kekosongan dua kawasan iaitu Parlimen Bt Gantang, Perak dan DUN Bt Selambau di Kedah. Al fatihah kepada keluarga Ahli Parlimen Bt Gantang, Almarhum Roslan Shahrum yang telah pergi meninggalkan kita semalam. Jasa-jasa beliau akan tetap kita kenang walaupun hanya 11 bulan beliau menaburkan bakti. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya. Amin.

Bagi DUN Bt Selambau pula, kekosongan adalah disebabkan ADUNnya meletakkan jawatan sebagai Exco Negeri Perak sekaligus jawatan ADUN yang disandangkan bagi membolehkan PRK diadakan. Alasan yang beliau berikan adalah mendapat tekanan dari pihak tertentu yang cuba mengalih pegangan beliau untuk menyertai BN (skrip sama aje di Negeri Perak).

Setelah meneliti kedua-dua peristiwa di atas membuat saya berfikir sejenak. Minggu lepas kita diterkejutkan dengan kejahatan dan kebrobokan DS Najis merentap kerajaan PR Negeri Perak dengan begitu rakus dan tamaknya. Beliau mendabik dada dan dengan bangga menyatakan BN telah mendapat mandat dari rakyat Negeri Perak. Setelah memulas tangan orang Istana untuk bersekongkol dengan konspirasi jahat beliau, akhirnya beliau berjaya memiliki apa yang beliau hajati selama ini dan menganggap ini sebagai hadiah untuk beliau sebelum menjejak kaki ke pintu pejabat PM.

Walaupun telah mendapat tentangan hebat dari rakyat negeri Perak serta komen-komen pedas dari kalangan orang kuat UMNO sendiri, DS Najis bagaikan tidak peduli lagi dengan tohmahan tersebut malah tersenyum lebar kerana usaha beliau selama ini telah berjaya membuahkan hasil dan tak ada siapa yang boleh menghalangnya. Lantaklah rakyat Perak nak berdemonstrasi jalanan memohon perkenan DYM Paduka Sultan membubarkan DUN, pilihanraya yang diimpikan oleh rakyat Perak tak akan menjadi kenyataan. Itulah tanggapan DS Najis.

Tapi dengan kuasa Allah S.W.T yang tidak boleh kita nak menghalangnya, berlakulah kekosongan kerusi di Parlimen Bt Gantang dan DUN Bt Selambau. Yang paling heran, dua-dua tempat ini berada di kawasan bukit sebagaimana tingginya bukit harapan DS Najis untuk melakar episode seterusnya menawan negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Manusia merancang, Tuhan yang menentukan. Senyum DS Najis yang sebelum ini sampai ke telinga, dan mula kendur kerana memikirkan stragegi apa yang akan beliau laksanakan pada PRK kedua-dua tempat ini. Berapa banyak ongkos yang perlu digunakan untuk menawan pengundi-pengundi. Semua ini bermain dalam kepala DS Najis yang mungkin tak lama lagi akan menyebabkan rambut beliau gugur satu persatu. Mungkin juga DS Najis menyumpah saranah, macamana pula boleh kosong dua-dua kawasan tu. Cukup elok aku rancang supaya Sultan tak bubarkan DUN, alih-alih ada juga pilihanraya. Matilah aku kali ini, begitulah agaknya yang diucapkan oleh DS Najis dalam hatinya.

Apa yang DS Najis mungkin tak tahu ataupun buat tak tahu, ini adalah berkat doa dan solat hajat yang dilaksanakan oleh semua rakyat Perak dan mungkin juga seluruh rakyat Malaysia (tak mustahil). Berkat doa orang yang dizalimi, Allah memakbulkan permintaan umatnya walaupun tidak keseluruhan negeri Perak, 2 kawasan ini saja sudah cukup menakut dan mengerikan DS Najis untuk berhadapan dengan rakyat. Ada ura-ura rakyat sudah menyediakan kasut, selipar dan barangkali terompah untuk disinggahkan ke muka DS Najis apabila beliau hadir pada PRK nanti. Apalah malang sekali kalau kita dilemparkan dengan kasut, cukuplah Bush saja yang menerimanya, tak sangka pula di Malaysia ni ada juga calon yang layak untuk dilemparkan dengan kasut. Nampaknya DS Najis dan Bush sehaluan dan sehati dalam bab-bab merampas kuasa dan memperakperandakan negeri orang.

Barangkali ini juga ketentuan yang Allah telah tetapkan untuk DS Nizar. Kita tidak boleh begitu mengharapkan situasi negeri Perak yang buat masa ini mempunyai dua kerajaan dan dua MB boleh memihak kepada Pakatan Rakyat. Walaupun Mursidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan kerajaan Perak baru ditubuhkan adalah kerajaan haram dan DS Nizar masih MB yang sah, segala kongkalikong BN akan memudahkan mereka untuk memulas Mahkamah pula bagi mengistiharkan kerajaan BN adalah kerajaan yang mendapat perkenan Sultan (saja dan bukan rakyat). Silap-silap haribulan DS Nizar kena juga meletakkan jawatan sebagai MB dan mungkin setakat itu sajalah khidmat yang dapat beliau sumbangkan.

Cadangan dari beberapa pihak iaitu Pemuda PAS Kelantan, DAP dan banyak lagi yang mahukan DS Nizar bertanding di Parlimen Bt Gantang haruslah diambil perhatian oleh pihak atasan Pakatan Rakyat. Mungkin apa yang saya sebutkan ketentuan Allah itu ada kebenarannya. Jawatan MB Allah tarikkan dan insya allah jawatan Ahli Parlimen Allah berikan kepada NS Nizar. Kalau benarlah ini berlaku, kita akan lihat nanti betapa kecutnya kemaluan DS Najis apabila berdepan dengan insan yang bernama DS Nizar ini. Insya Allah, semua ini adalah kuasa Allah, kita merancang, Allah yang menentukan.

Petikan ayat Al Quran berbunyi, Sesuatu yang engkau lihat baik itu, mungkin tidak baik untuk engkau, dan sesuatu yang engkau lihat tidak baik itu, mungkin itulah yang terbaik untuk engkau. Jadi janganlah kita mengeluh atau kesal dengan apa jua takdir buruk yang Allah berikan pada kita kerana janji-janji Allah itu amat benar sekali.

Wassallam.