Monday, June 15, 2009

Bila anak anda yang jadi kaki pukul...

Assalamualaikum,



Hari ini saya ingin membicarakan soal moral dan disiplin pelajar-pelajar di negara kita masakini. Selalunya artikel saya lebih banyak berkisar pada politik saja, kali ini lain dari yang lain iaitu masalah anak remaja yakni kaki pukul.


Sering kita dikejutkan dengan berita buli, pukul dan gangsterisme di kalangan pelajar yang dipaparkan di dada akhbar negara. Kadang-kadang naik muak dan jelak pula membaca kisah sebegini sehingga timbul pula soal macamana masalah ini dapat di atasi di semua peringkat. Adakalanya kita akan terus menyalahkan ibu bapa kerana tidak dapat membimbing anak-anak mereka untuk lebih berdisiplin. Pada pelajar yang menjadi mangsa kaki pukul, kita terus melontarkan rasa simpati yang tidak terhingga tanpa kita menyelidiki apa yang sebenarnya berlaku sehingga menimbulkan pukul memukul ini.

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca bagaimana perasaan saya atau mana-mana ibu bapa yang anak mereka pula yang menjadi kaki pukul. Tapi kes saya ini tidaklah seberat yang berlaku di sekolah sehingga menjadi kes polis. Tapi ini adalah sebagai pengajaran dan renungan kepada semua ibu bapa supaya jangan terlalu mengharap anak kita adalah baik sepenuhnya.

Anak saya bersekolah di sebuah sekolah agama berasrama penuh di Selangor dan tahun ini adalah tahun keenam beliau di sana untuk menduduki peperiksaan Tinggi Agama. Selama hampir 6 tahun di sekolah tersebut, tidak pernah beliau terlibat dalam apa juga masalah disiplin yang berat. Beliau merupakan antara pelajar yang paling aktif di sekolah tersebut dan sering melibatkan diri dalam aktiviti dalam dan luar sekolah. Beliau juga merupakan seorang pengawas dari Tingkatan 4 hingga Tingkatan 5 dan sering memegang beberapa jawatan asrama dan sukan. Tidak pernah saya menerima aduan atau tuduhan dari pihak sekolah yang anak saya melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyebabkan beliau digantung dari asrama. Dan saya sebagai seorang ibu sering mendoakan agar anak saya dilindungi dari segala kecelakaan atau terlibat dalam apa-apa juga kegiatan yang tidak sihat. Saya juga memanjangkan doa agar anak saya mempunyai akhlak yang baik sepanjang berada di asrama. Saya juga sering menasihati beliau supaya menghormati guru dan juga pelajar-pelajar lama dan baru. Anggap semua pelajar yang tinggal di asrama sebagai adik beradik sendiri, itu pesan saya.

Tapi Allah Maha Kuasa, ingin menduga keimanan dan ketakwaan umatnya dalam menghadapi situasi yang berat ini. Anak saya dan beberapa temannya didakwa memukul beberapa pelajar tingkatan 2 hanya berpunca dari caci mencaci dan tak menghormati pelajar lama, itu alasan yang diberikan oleh anak saya. Allah saya yang tahu bagaimana perasaan saya di saat anak saya menyampaikan berita ini sewaktu saya masih berada di pejabat. Perasaan marah yang tidak terhingga saya lontarkan pada anak saya kerana sebagai pelajar senior, beliau sepatutnya lebih rasional dalam menangani situasi begini. Kesal dan sedih itulah yang dapat saya rasakan di saat teman-teman sepejabat cuba meredakan emosi saya ketika itu. Saya tidak tergamak untuk memaklumkan perkara ini pada suami saya kerana saya khuatir beliau akan terkejut memandangkan beliau ada penyakit darah tinggi. Cuma yang dapat saya luahkan adalah pada anak saya yang bertugas di Sarawak dan beliau juga menasihati saya agar tidak menyampaikan berita ini pada suami saya.

Oleh kerana kes ini akan dibawa untuk siasatan dan tindakan susulan akan diambil terhadap anak saya dan teman-temannya, beliau telah digantung asrama untuk sementara waktu. Setiba dirumah tatkala soalan diajukan padanya mengapa beliau boleh bertindak sedemikian, alasan yang sama, pelajar-pelajar tersebut enggan bekerjasama dan sering mengeluarkan kata-kata keji hingga lucah terhadap pelajar-pelajar lama. Saya terus menasihati anak saya agar dapat mengawal sifat marah dan baran dalam dirinya terutama menghadapi kerenah pelajar yang baru. Kalaulah di sekolah sebegini beliau tidak dapat mengawal emosinya, bagaimana pula beliau akan berhadapan dengan situasi sewaktu di universiti dan seterusnya bekerja kelak. Di sana nanti berbagai kerenah manusia akan beliau hadapi. Di peringkat persekolahanlah tempat untuk kita mendidik jiwa dan rohani kita agar menjadi umat yang berakhlak dan bermoral tinggi, itu pesan saya padanya.

Dipendekkan cerita, pihak sekolah telah mengenakan tindakan gantung asrama terhadap anak saya serta teman-temannya. Perasaan saya amatlah terguris dan sedih kerana saya memang tidak menyangka pihak sekolah akan menggantung anak saya dari asrama. Apa yang ada dalam fikiran saya, adalah sekadar amaran buat kali pertama saja. Tapi apalah kuasa yang ada pada saya hanya sekadar seorang ibu saja. Saya hanya mampu menghantar surat rayuan pada pihak sekolah agar membenarkan anak saya terus tinggal di asrama hingga peperiksaan Tingkatan 6 yang tinggal beberapa bulan saya lagi. Selain dari faktor kewangan, alasan yang paling kuat saya kemukakan adalah sumbangan yang telah anak saya berikan pada pihak sekolah serta tempoh yang agak lama beliau bersekolah di sana perlu diambil kira juga. Saya tidak menafikan yang anak saya telah melakukan kesalahan yang agak berat, tapi pihak sekolah juga perlu memberi beliau peluang untuk membaiki segala kesalahan yang telah dilakukannya.

Alhamdulillah, rayuan saya telah dipertimbangkan oleh pihak sekolah dan anak saya dibenarkan tinggal di asrama dengan beberapa syarat. Saya dan suami saya serta anak saya telah menandatangani surat perjanjian agar perkara sebegini tidak berulang lagi. Saya juga mengucapkan terima kasih pada pihak Pengetua dan sekolah kerana memberi peluang untuk anak mengubah sikapnya, alhamdulillah.

Saya redha dengan ketentuan yang Allah berikan pada saya dalam menghadapi situasi sebegini. Sekurang-kurang kita tahu di mana kelemahan dan kekurangan yang ada pada anak kita. Nasihat saya pada ibu bapa yang berhadapan dengan masalah begitu, janganlah terus melenting atau mengambil tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Anak kita kalau dah salah, tetap salah. Apa yang harus kita lakukan adalah perbaiki di mana kesilapannya baik pada anak kita mahupun pada diri kita sebagai ibu bapa.

Terus terang saya katakan saya tidak malu untuk berkongsi pengalaman begini dengan semua orang. Pada teman, saudara mara dan jiran, saya tidak pernah sorok perkara begini dari pengetahuan mereka. Ini baru masalah kecil, Allah dah duga kita, macamana kalau anak kita terlibat dengan masalah lebih besar atau masalah jenayah, inilah ujian yang kita kena tempuhi. Pada semua ibu bapa yang mempunyai anak remaja, awasilah anak-anak kita dan paling penting, janganlah kita menaruh sepenuh harapan yang anak kita adalah sebaik-baik insan di dunia ini. Ada kala dan ketika mereka akan terjebak dengan situasi yang boleh mengganggu gugat emosi dan perasaan mereka. Selalulah berdoa pada Allah S.W.T agar kita diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi apa juga kemungkinan. Sekian untuk kali ini dan renung-renunglah apa yang telah saya coretkan di atas. Wassallam.

Layari blog saya http://hayatireform.blogspot.com/

No comments: