Wednesday, April 8, 2009

BN tersepit di dua bukit

Assalamualaikum,


Mungkin di waktu ini, Pakatan Rakyat sedang meraikan kemenangan di Bt Gantang dan Bt Selambau sungguhpuh tewas di Batang Ai. Dan bagi BN pula sedang mengkaji dan menghitung bila pula PRK selanjutnya, alamat tertewaslah lagi, begitulah gamaknya.


Saya tak mahu menyentuh kemenangan BN di Batang Ai yang mana telah diramalkan memang berpihak pada BN. Pada saya kesanggupan dan keberanian PKR bertanding di sana haruslah dipuji walaupun sayap mereka baru saja nak tumbuh di Bumi Kenyalang. Dari cakap-cakap yang tak professional dengan teman-teman, rakyat di Bumi Kenyalang terutama di kawasan pendalamam memang pekat lambang dacingnya. Jadi PKR haruslah bekerja lebih kuat untuk menawan hati rakyat pribumi di sana. Di kawasan bandar Sarawak, ada harapan yang cerah kerana mereka terdedah dengan maklumat yang lebih luas. Berilah sedikit masa pada PKR untuk menguatkan jentera mereka di sana dan insya allah kemenangan akan muncul jua.


Kemenangan DS Nizar di Bt Gantang memang telah diramalkan oleh penganalisis politik tempatan mahupun luar. Dan jumlah majoriti yang beliau perolehi menepati ramalan yang dibuat oleh penganalisis tersebut. Maklumat yang saya perolehi dari blog dan kenalan menyatakan, media arus perdana masih lagi cuba menenangkan hati pemerintah yang telah kalah teruk dalam PRK kali ini. Jumlah majoriti yang diperolehi DS Nizar walaupun meningkat hampir 1200 undi, media arus perdana menyatakan itu adalah undi simpati. Dan yang paling melucukan adalah pulak 'professor kangkung' masih menafikan kredibiliti DS Nizar. Kata beliau, kalau benarlah DS Nizar begitu polular, sepatutnya beliau mendapat majoriti yang lebih besar dari apa yang diperolehinya. Ini bunyi cakap-cakap orang yang telah kecewa gamaknya. Pada hemat sayalah, saranan PM baru yang mahu media bersifat lebih terbuka, hanyalah omong-omong kosong. Dah hampir tersungkur di dua bukit (termasuk Bt Selambau) masih lagi nak berdendang sayang mengampu dan memuji pemerintah. Alahai.....!!!


Kemunculan mantan PM Tun Mahathir juga tidak banyak membantu BN untuk meraih sokongan pengundi pada mereka. Mungkin DS Najib salah perkiraan membawa masuk Tun Mahathir, harapkan kemenangan, alih-alih majoriti bertambah-tambah pulak. Saya sarankan Tun Mahathir duduk ajelah dirumah, beribadat ke, tanam bunga ke dan apa saja aktiviti harian yang telah beliau tinggalkan hampir 20 tahun sewaktu menjadi PM dulu. Biarlah cokanak cokanek yang pegang tampuk pemerintah ni menghadapi PRK dengan cara mereka sendiri. Buang masa dan buang tenaga aje Tun Mahathir berceramah di Bt Gantang, rakyat bertambah meluat, undi masuk dalam tong PAS. Padan muka!!!


Kita pergi pula ke Bt Selambau. Kemenangan Manikumar calon PKR memang juga telah dijangkakan oleh penganalisis politik dan majoriti juga bertambah kalau tak silap sayalah. Walau apapun PKR telah berjaya menafikan BN daripada terus mencengkam kehidupan penduduk di Bt Selambau. Sebelum keputusan diumumkan, saya sempat melayari internet untuk mengetahui keputusan terkini, saya terbaca yang Samy Vello telah lebih awal meninggalkan Bt Selambau kerana telah menjangkakan ketewasan mereka di sana. Ini dua kali tamparan pada Samy Vello setelah terjunam di PRU 12. Masyarakat India di Bt Selambau dan juga seluruh Malaysia telah menolak terus Samy Vello dan MIC dari menjadi pelindung mereka. Nampak gayanya Samy Vello kena reform MIC ataupun beliau pencen saja jaga cucu....!!


Dalam diskusi di ASTRO Awani, ahli panel yang sepertimana waktu PRK di Pmtg Pauh dan K.Trengganu, berbuih-buih dah menyarankan agar BN harus mengubah cara politik mereka. Politik yang berdasarkan pembangunan mee segera dah tak sesuai lagi dalam era globalisasi dan maklumat tanpa sempadan ni. Cara pemikiran pengundi terutama pengundi muda antara 20 hingga 40 tahun telah menjangkau informasi kalau nak dibandingkan dengan media perdana yang asyik-asyik menayangkan propaganda dan kebaikan pemerintah. Sekelumit saja pembangkang diwar-warkan dalam media arus perdana. Kalau adapun lebih bersifat negatif dan cuba memesongkan akal fikiran rakyat. Sewaktu kempen Bt Gantang, disiarkan ucapan DSAI yang entah zaman bila bercakap pasal dasar kerajaan. Hey, come on lah, ni zaman IT, rakyat dah tak boleh terima cara media memasukkan imput yang tak berasas ni. Reformasi media arus perdana yang dicanangkan oleh DS Najib tidak akan menjadi kenyataan sekiranya media masih condong kepada pemerintah dan membelakangi hak rakyat yang dahagakan maklumat yang tepat dan benar.


Waktu perhimpunan UMNO yang lalu, DS Najib memberi slogan "Berubah atau rebah" yang membawa erti kalau UMNO tak berubah, mereka pasti rebah. Pada sayalah, slogan tersebut patut berbunyi begini "Rebah atau berubah", ertinya UMNO memang menunggu masa untuk rebah kerana UMNO memang tak akan berubah. Jadi fikir-fikirkan lah...!!


Layari blog saya di www.hayatireform.blogspot.com

No comments: